separuh akhir pertama piala liga.
barisanaik :
edwin van der sar
rafael
patrice evra
jonathan evans
wesley brown
anderson
darren fletcher
ryan giggs
michael carrick
antonio valencia
wayne rooney
jika seminggu atau 2 minggu lepas pengurus pasukan membuat kenyataan akan menurunkan pemain-pemain muda seperti kempen musim lepas, nampaknya pengurus menghadapi penyakit mudah lupa atau tak tetap pendirian dan menurunkan barisanaik yang boleh dikatakan utama. dikatakan utama kerana pengurus telah merafa benitezkan kesebelasan pertamanya dalam setiap perlawanan musim ini. mungkin beliau tidak yakin dengan kelebihan sendiri atau ingin dilabel mempunyai akumen taktikal yang baik.
seolah-olah bermain dalam liga juara-juara, formasi yang digunapakai di pagi yang gelap dan mulia ini ialah 4-5-1 atau kalau nak kelihatan pelik dan lebih pandai dengan taktikal moden, 4-3-2-1 atau entah formasi moden apa lagi yang ada; kerana ketidak percayaan kepada pemain yang ditandatangani secara percuma dan kecederaan yang melanda pemain termahal kelab. mungkin juga sebab pengurus suka akan formasi yang bodoh dan tak sesuai ini. di kaca tv, ditunjukkan seolah-olah 4-3-3. aku tak pasti sejak bila ryan giggs atau antonio valencia dianggap penyerang?
permainan awalan lebih banyak berlegar-legar di seluruh padang tanpa ada gerakan-gerakan menarik oleh kedua-dua pasukan. aku yang terbangun tanpa sengaja hampir terlelap kerana enggan meminum se mug kopi atau menghisap sebatang rokok. apatah lagi aku enggan memasang lampu dan dalam kesuraman cahaya tv, aku terkebil-kebil menahan diri daripada terlelap.
setan merah mendapat lolosan pecah apabila antonio valencia yang cuba diadang pemain lipas kudung city, craig bellamy berjaya meloloskan diri dan membuat hantaran lintang paras lutut yang disambut oleh wayne rooney. sungkitan wayne rooney berjaya ditepis oleh shay given yang melantun ke kaki micah richards dan ryan giggs yang membuat larian susulan hanya perlu menolak bola masuk ke gawang gol city. setan merah di depan 1-0 dan penyokong united melompat-lompat kegembiraan seperti katak menerima hujan.
perlawanan bertukar sedikit rancak umpama persembahan kumpulan gitar rancak di tapak ekspo membuat persembahan lagu agogo dan twist. pemain-pemain kepak kiri dan kanan city iaitu shaun wright phillips dan craig bellamy riang ria membuat serangan di kedua-dua bahagian sayap. tampak pertahanan united sedikit goyah terutamanya di bahagian pertahanan kanan. kanak-kanak berambut ikal agak tertekan dengan kelincahan lipas kudung craig bellamy.
akhirnya rafael telah memicah richardkan craig bellamy di dalam kawasan penalti dan pengadil tanpa teragak-agak meniup wisel dan menunjuk ke arah titik penalti, menandakan tendangan penalti dihadiahkan kepada city. mengikut statistik, ini kali kedua budak berambut ikal memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan. dan seperti biasa aku akan mengeluarkan kata-kata kesat dan nista. kali ini di dalam bahasa melayu sempena menghormati kempen aku memperkasakan bahasa ibunda. rafael telah dilayangkan kad kuning (sumpah aku tak nampak kad kuning melayang tetapi sekadar menggunakan bahasa klise yang diguna pakai). edwin turut menerima nasib yang sama kerana dituduh pengadil cuba melengah-lengahkan dan mengganggu kacau konsentrasi carlos tevez yang akan mengambil sepakan penalti tersebut.
tevez walau diusik oleh rooney di belakangnya dengan tenang menghantar bola ke kiri pintu gol manakala edwin melayangkan diri ke bahagian kanan. kedudukan bertukar menjadi seri 1-1. muka pengurus seperti biasa akan menjadi merah babi atau merah seperti babi. timbul spekulasi bahawa pengurus akan sekali lagi menyalahkan pengadil kerana membuat keputusan tidak adil atau salah dan sekiranya berlaku, dijangka tiada apa-apa tindakan akan dikenakan ke atas beliau sebagai menghormati status beliau sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah liga bolasepak inggeris.
sekian dahulu ulasan untuk perlawanan ini kerana aku nak tonton separuh masa kedua. tampaknya dikuasai oleh pasukan city. oh ya, tevez yang enggan dibeli oleh pengurus atas sebab-sebab tertentu baru menjaringkan gol kedua dan aku ingin mengucapkan tahniah kepada pengurus pasukan united. anda memang hero!
tarikh naik :-
tandukan giggs ditepis keluar oleh given. pengurus membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan pemain yang kurang dipercayai iaitu michael owen menggantikan anderson. maka formasi berubah menjadi 4-4-2 sepertimana yang layaknya. perlawanan bertukar arah dan united mengasak city berulang-kali untuk mencari gol penyamaan. owen nampak hidup dan berjaya membantu rooney di bahagian serangan. bola lolosan owen kepada rooney yang menyungkit bola ditampan given dan sepakan susulan yang lemah oleh owen ditolak keluar atas garisan oleh pertahanan city. city tidak ketinggalan mencemaskan pintu gol united apabila percubaan bahaya bellamy berjaya ditampan oleh edwin. hantaran lintang evra gagal disambut oleh valencia walaupun pintu gol telah terkangkang luas (sesuai ke perkataan kangkang ni?). minit terakhir dan aku yakin united akan tewas pagi ni.
aku yakin akan tewas kerana formasi. aku yakin kecundang kerana taktikal. dan tentunya, faktor tevez dan barisan pertahanan yang poros macam tanah-tanah di sekitar KLCC. tiba-tiba rooney merembat, given tepis keluar. minit 91, pasukan merah dapat sepakan sudut tapi bola ditanduk diouf tersasar jauh. nyata dia belum setanding ole gunnar solksjaer. penyokong city lega. penyokong united menepuk dahi.
dan pengadil pun meniup wisel penamat.
ketemu kita di old trafford minggu hadapan. di mana ramai orang bermimpi atau mengejar impian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan